Monday, August 16, 2010

Assalammualaikum dan salam sejahtera...

Pengenalan

Tidak dinafikan bahawa teknologi komputer boleh menjadi wadah utama perkembangan dalam pendidikan awal kanak-kanak. Ia mampu menjadikan proses pembelajaran dalam kalangan kanak-kanak lebih menarik, meluas dan mengkagumkan.
Bagaimanapun, antara isu utama yang sentiasa menjadi agenda dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak ialah dari segi keberkesanan pembelajaran berbantukan elemen multimedia.

Penggunaan ICT dalam pendidikan awal kanak-kanak dalam sessi pengajaran dan pembelajaran secara terancang dan bersesuaian dapat membantu dalam pencarian maklumat dan ilmu pengetahuan terhadap seseorang kanak-kanak itu. Walau bagaimanapun, ICT dalam pengajaran dan pembelajaran untuk awal kanak-kanak tidak boleh terlalu berat dan ia haruslah bersesuaian dengan peringkat umur kanak-kanak tersebut.


PENGGUNAAN BAHAN ICT DALAM PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK

Selain penggunaan ICT untuk sekolah rendah dan sekolah menengah, pembelajaran untuk awal kanak-kanak juga terus digalakkan. Pada mulanya, penggunaan ICT ini mendapat pandangan negatif dari para pendidik kerana mereka bimbang penggunaan ini boleh mendatangkan kesan yang negatif terhadap pemikiran kanak-kanak tersebut. Kerana perkembangan semasa, pandangan para pendidik telah berubah kerana mereka sudah mula memikirkan akan kelebihan penggunaan ICT.

Penggunaan bahan ICT agak terkenal di negara-negara barat dan keberkesanannya amat maju. Aktiviti seperti nyanyian, menggabungkan pembelajaran dengan menggunakan sofware atau perisian yang sesuai dengan kanak-kanak. Mereka juga boleh mencipta lagu mereka sendiri dan mempelajari pelbagai alat muzik menggunakan perisian tersebut. Selain itu, National Geographic Kids membekalkan maklumat tentang geografi, kraf, aktiviti sains untuk kanak-kanak (Doris Bergen,2001).